SESI TEMU BUAL KETUA PENGARAH BIOKESELAMATAN DI SLOT MHI, TV3
28 April 2026 Kuala Lumpur


Jabatan Biokeselamatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah tampil dalam sesi temu bual eksklusif melalui slot Malaysia Hari Ini (MHI) yang bersiaran secara langsung di Media Prima, Balai Berita Bangsar pada 28 April 2026. Perkongsian ini memfokuskan kepada topik hangat “LMO/GMO: Selamat atau Ancaman?” bagi memberikan pencerahan kepada masyarakat umum.
Ketua Pengarah Jabatan Biokeselamatan, Dr. Lornie Enggong sebagai panel jemputan utama telah mengupas secara mendalam peranan Jabatan dalam mengawal selia produk bioteknologi moden di pasaran Malaysia.
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha strategik di bawah seliaan NRES bagi memperkasakan kefahaman awam mengenai pengurusan risiko biologi. Penekanan diberikan kepada kepentingan Akta Biokeselamatan 2007 dalam memastikan setiap aktiviti berkaitan LMO/GMO mematuhi piawaian keselamatan demi kelestarian alam sekitar. Sepanjang slot ini berlangsung, penonton telah didedahkan dengan pelbagai fakta penting bagi memberi impak terhadap tahap kesedaran rakyat antaranya termasuklah prosedur penilai risiko yang ketat serta cara mengenal pasti produk LMO/GMO.
Jabatan ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak pengurusan TV3, krew produksi MHI serta para penonton yang telah mengikuti sesi ini secara langsung mahupun melalui strim di Facebook TV3. Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam membudayakan amalan biokeselamatan demi menjamin keselamatan semua.