SESI LIBAT URUS CADANGAN AWAL PELAKSANAAN PENGISYTIHARAN SERTA TANGGUNGAN DAN GANTI RUGI (LR) PERINGKAT SEMENANJUNG SIRI 1 TAHUN 2026
14 Jun 2026 Shah Alam

Jabatan Biokeselamatan (JBK) telah mengadakan Sesi Libat Urus Cadangan Awal Pelaksanaan Pengisytiharan serta Tanggungan dan Ganti Rugi (LR) Peringkat Semenanjung Siri 1 Tahun 2026 pada 14 hingga 16 Jun 2026 bertempat di Hotel DoubleTree by Hilton i-City Shah Alam.
Sesi libat urus ini telah menghimpunkan wakil agensi kerajaan, institusi penyelidikan, syarikat bioteknologi dan wakil industri yang terlibat dalam aktiviti berkaitan Organisma Diubah Suai (LMO) serta pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berkaitan mekanisme pelaksanaan Pengisyitharan Biokeselamatan dan Tanggungan dan Ganti Rugi atau Liability and Redress (LR) yang praktikal kepada semua pihak selaras dengan keperluan perundangan negara.
Sesi ini merupakan platform awal yang diadakan oleh JBK bagi mendapatkan pandangan, maklum balas serta input yang konstruktif daripada semua pihak berkepentingan ke arah memperkukuh dan memperhalusi dasar, prosedur serta kaedah pelaksanaan Pengisytiharan dan Tanggungan serta Ganti Rugi (LR) agar lebih komprehensif, praktikal dan bersesuaian dengan keperluan negara.