SESI KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH BIOKESELAMATAN DAN LAWATAN KE MAKMAL SARAWAK BIODIVERSITY CENTER (SBC)
18 September 2026 Sarawak


Ketua Pengarah Biokeselamatan bersama pegawai Jabatan Biokeselamatan (JBK) telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas Acting Chief Executive Officer (CEO) Sarawak Biodiversity Centre (SBC) serta lawatan ke kemudahan makmal penyelidikan SBC.
Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara JBK dan SBC dalam bidang biokeselamatan, penyelidikan serta pembangunan bioteknologi moden. SBC merupakan sebuah institusi penyelidikan yang aktif menjalankan aktiviti penyelidikan berkaitan biodiversiti dan bioteknologi serta berdaftar sebagai Jawatankuasa Biokeselamatan Institusi (Institutional Biosafety Committee - IBC) di bawah Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678].
Melalui lawatan ini, delegasi JBK berpeluang meninjau kemudahan dan perkhidmatan makmal yang disediakan oleh SBC, termasuk makmal yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan berkaitan Organisma Diubah Suai Hidup (Living Modified Organism - LMO). Lawatan tersebut turut memberi pendedahan kepada JBK mengenai operasi sebenar SBC sebagai sebuah pusat penyelidikan yang memiliki pelbagai kemudahan makmal dan menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan saintifik dan pembangunan teknologi.
Selain itu, sesi perbincangan yang diadakan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan berhubung aspek biokeselamatan, pengurusan penyelidikan melibatkan LMO serta potensi kerjasama pada masa hadapan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan JBK dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi penyelidikan dan pemegang taruh biokeselamatan bagi memastikan pembangunan bioteknologi moden dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan selaras dengan peruntukan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678].
Untuk Maklumat Lanjut:
Facebook: DOBiosafetyMalaysia
Instagram: @biosafetymalaysia
TikTok: @biosafety.malaysia
X: @mybiosafety
Website: biosafety.gov.my
YouTube: Department of Biosafety Malaysia
Link: