BENGKEL LATIHAN PENSAMPELAN BIOKESELAMATAN BERSAMA AKPS PERINGKAT BORNEO TAHUN 2026
6 Mei 2026 Sabah


Bengkel Latihan Pensampelan Bersama AKPS Peringkat Borneo Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 6 hingga 8 Mei 2026 di Hotel Grandis, Kota Kinabalu, Sabah. Bengkel ini melibatkan penyertaan pegawai daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi negeri Sabah dan Sarawak serta Pegawai Teknologi Makanan daripada Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan (MKKM), Miri.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai AKPS berkaitan pelaksanaan pensampelan biokeselamatan di pintu masuk negara selaras dengan peruntukan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678]. Antara pengisian utama bengkel termasuk sesi taklimat oleh Jabatan Biokeselamatan (JBK) berkaitan pengenalan Organisma Hidup Diubah Suai (Living Modified Organisms – LMO), peranan JBK dan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678], serta latihan pensampelan. Bengkel ini turut merangkumi sesi perkongsian daripada pihak makmal berhubung kaedah pengesanan LMO di makmal. Program turut melibatkan lawatan kerja dan latihan secara praktikal di lapangan (hands-on) pensampelan di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara JBK dan AKPS terutamanya di Borneo, di samping meningkatkan kefahaman, kompetensi serta keberkesanan pelaksanaan penguatkuasaan biokeselamatan di pintu masuk negara, khususnya di peringkat Borneo.