PROGRAM KESEDARAN BIOKESELAMATAN PERINGKAT UNIVERSITI 2026
21 April 2026 Serdang


Jabatan Biokeselamatan dengan kerjasama Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan dan Biosekuriti (IBBC) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Program Kesedaran Biokeselamatan peringkat Universiti bertempat di Auditorium Rashdan Baba, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor UPM.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Biokeselamatan, Dr Lornie Enggong dan turut dihadiri Pegawai Pendaftar UPM, Encik Muhazam Mansor serta mahasiswa dan mahasiswi UPM dan sekitar Lembah Klang serta warga akademik dan penyelidik.
Inisiatif strategik di bawah selian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan sokongan Global Environment Facility (GEF) dan United Nations Environment Programme (UNEP) bagi memperkasakan kefahaman mengenai pengurusan risiko biologi dan amalan biokeselamatan dalam kalangan warga akademik serta penyelidik.
Sepanjang program ini berlangsung, terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan bagi memberi impak maksima kepada peserta, antaranya termasuklah sesi perkongsian yang memfokuskan kepada usaha membudayakan amalan biokeselamatan demi menjamin keselamatan biologi negara. Selain itu, sesi kuiz interaktif dilaksanakan sebagai usaha pengukuhan kefahaman para peserta mengenai perundangan serta prosedur biokeselamatan yang sedang berkuatkuasa.
Jabatan juga ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak pengurusan UPM, para penceramah dan seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah memastikan kelancaran program ini.