MESYUARAT KEMAJUAN PROJEK DAN LAWATAN TURUN PADANG BAGI PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI (KAM) 2025 DI KG. NANGA GAYAU, BETONG, SARAWAK
2 April 2026 Sarawak





Mesyuarat Kemajuan Projek dan Lawatan Tapak bagi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) Tahun 2025 di Kg. Nanga Gayau, Betong telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong bersama Jabatan Biokeselamatan (JBK) pada 2 April 2026.
Mesyuarat dan lawatan ini telah disertai oleh Ketua Pengarah Biokeselamatan, Dr. Lornie Enggong, serta pegawai-pegawai Jabatan Biokeselamatan. Turut hadir ialah Jurutera Bahagian, En. Jason Ng Boon Tuan bersama pegawai-pegawai JKR Bahagian Betong, Ketua Penolong Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Zon Sri Aman), wakil Pusat Khidmat P204 Betong, wakil Pusat Khidmat N.37 Bukit Saban serta Ketua Komuniti Setempat, JKKK Kg. Nanga Gayau.
Tujuan utama mesyuarat dan lawatan tapak ini adalah untuk meninjau kemajuan pelaksanaan projek, mengenal pasti isu-isu berbangkit serta membincangkan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI (KAM).
Melalui lawatan ini, semua pihak berpeluang melihat sendiri perkembangan projek di lapangan serta memperkukuh penyelarasan antara agensi yang terlibat. Projek ini kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 74% dan dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mei 2026. Skop pelaksanaan merangkumi pembinaan sebuah dewan serba guna yang dilengkapi dengan kemudahan bilik mesyuarat, bilik biro wanita, tandas, sistem mekanikal dan elektrikal, serta kerja-kerja infrastruktur luar bangunan.
Jabatan ini juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JKR Bahagian Betong, atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan pelaksanaan program ini.