SEMINAR BIOKESELAMATAN BORNEO (SARAWAK) 2026
3 Februari 2026 KUCHING, SARAWAK





SEMINAR BIOKESELAMATAN BORNEO (SARAWAK)
3 FEBRUARI 2026
KUCHING, SARAWAK
Jabatan Biokeselamatan (JBK) melalui Seksyen Penilaian dan Penyelidikan (SNP) telah menganjurkan Seminar Biokeselamatan Borneo (Sarawak) di Kuching, Sarawak dengan penyertaan seramai 50 orang peserta. Para peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti serta pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengurusan bioteknologi serta biokeselamatan. Seminar ini bertujuan untuk memberi pendedahan maklumat mengenai peranan Jabatan Biokeselamatan, Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] serta garis panduan nasional dan antarabangsa dalam pengurusan bioteknologi moden dan biokeselamatan. Seminar ini juga telah menyediakan platform kepada agensi kerajaan, penyelidik dan pihak industri di Sarawak untuk berkongsi maklumat, kepakaran, pengalaman dan pembangunan rangkaian kerjasama strategik. Selain itu, peserta dapat meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kapasiti mengenai prinsip, risiko dan amakan terbaik dalam pengendalian LMO di dalam makmal.
Turut hadir ialah Puan Noor Fairuz binti Shamsudin, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Alam Sekitar mewakili Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), serta enam (6) orang penceramah. Dua (2) orang penceramah merupakan wakil JBK iaitu Encik Muhamad Azharul Anas bin Md Suhadi dan Puan Azareena binti Yahya, manakala empat (4) orang lagi adalah wakil Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik (GMAC) iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Yuwana Podin, YBrs. Ts. Dr. Saiful Effendi bin Syafruddin, YBrs. Dr. Teo Tze Min dan YBrs. Dr. Jothi Malar Panandam. JBK akan terus komited dalam memperluaskan penyampaian maklumat berkaitan peranan Jabatan dan pelaksanaan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] kepada pihak berkepentingan di Borneo. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan kemajuan bioteknologi dilaksanakan secara selamat dan bertanggungjawab, seiring dengan perlindungan biodiversiti, kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar.
#seminarbiokeselamatanborneo
#malaysiamadani