Sebelum Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) membuat sebarang keputusan tentang permohonan kelulusan LMO ataupun produk LMO, konsultasi awam wajib dibuat. Syarat ini bagi mematuhi peruntukan di bawah Akta Biokeselamatan 2007 [Seksyen 14(c) dan Seksyen 16(3)]. Konsultasi awam dibuat untuk permohonan uji kaji lapangan serta semua pelepasan yang lain (pembekalan atau tawaran untuk membekalkan bagi penjualan atau meletakkan dalam pasaran dan sebagainya) yang melibatkan LMO dan produk LMO.
Keputusan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan untuk permohonan kelulusan berdasarkan:
a. syor daripada GMAC;
b. maklumbalas agensi Kerajaan yang berkaitan; dan
c. konsultasi awam.
Pengumuman Konsultasi Awam
Pengumuman berhubung konsultasi awam dibuat dalam bentuk notis standard dan diterbitkan sekurang-kurangnya dalam 4 surat khabar yang menggunakan bahasa utama (iaitu satu surat khabar Bahasa Melayu, satu surat khabar Bahasa Inggeris, satu surat khabar Bahasa Tamil dan satu surat khabar Bahasa Mandarin) yang mempunyai liputan kebangsaan (notis dalam surat khabar Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin akan menggunakan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu).
Notis akan dibuat 2 kali dalam surat khabar yang dipilih oleh pemohon dengan selang tempoh 2 minggu [contohnya 1 Januari 2019 (pengumuman pertama), dan 15 Januari 2019 (pengumuman kedua)].
Notis serta Lembaran Fakta tentang permohonan tersebut akan dimasukkan dalam laman web Jabatan Biokeselamatan (www.biosafety.gov.my) untuk mempelawa orang awam memberikan maklum balas.
Jemputan untuk konsultasi awam juga akan dimasukkan dalam platform media sosial Jabatan Biokeselamatan yang lain:
Facebook
Twitter
Maklumat yang diberikan untuk Konsultasi Awam
Maklumat berhubung aktiviti yang dicadangkan oleh pemohon akan dimasukkan dalam Lembaran Fakta (dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris) sebagai hebahan awam. Maklumat yang diberikan termasuk:
a. Tujuan dan huraian tentang aktiviti dalam permohonan
b. Huraian tentang cara organisma hidup diubahsuai
c. Ciri-ciri organisma hidup yang diubah suai
d. Penilaian risiko terhadap kesihatan manusia
e. Penilaian risiko terhadap alam sekitar dan biodiversiti
f. Huraian pelan respon kecemasan
Penglibatan dalam Konsultasi Awam
Mana-mana orang awam boleh membuat ulasan, pandangan atau mengemukakan pertanyaan terhadap maklumat yang dihebahkan kepada orang awam yang berkaitan dengan sesuatu permohonan. Sebelum mengemukakan ulasan, pandangan ataupun pertanyaan, seseorang haruslah meneliti maklumat yang dibekalkan tentang permohonan tersebut dalam Lembaran Fakta.
Ulasan, pandangan dan pertanyaan tentang kemungkinan kesan/risiko ke atas kesihatan dan keselamatan manusia dan alam sekitar yang mungkin disebabkan oleh pelepasan tersebut adalah amat dihargai. Ulasan/pandangan/pertanyaan yang dikemukakan mestilah disediakan dengan teliti kerana ia akan diberi penekanan yang sama seperti dengan permohonan oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK). Walaupun ulasan/pandangan/pertanyaan tidak berasaskan kepada sains dan sebaliknya menumpu kepada kebudayaan atau nilai-nilai lain, ia masih perlu disediakan dalam bentuk hujah yang munasabah.
Orang yang menghantar ulasan/pandangan/pertanyaan wajib menyatakan nama penuh, alamat serta butiran maklumat untuk dihubungi supaya ulasan/pandangan/pertanyaan yang dihantar diterima oleh Jabatan Biokeselamatan.
Ulasan, pandangan dan pertanyaan secara bertulis perlu dihantar kepada:
Ketua Pengarah
Jabatan Biokeselamatan
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
Aras 4, Blok F11, Kompleks F
Lebuh Perdana Timur, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia
E-mel: dob@biosafety.gov.my
Tempoh masa untuk menerima ulasan orang awam adalah untuk 30 hari bermula dari tarikh pengumuman pertama dibuat.
Tindakan yang diambil selepas menerima ulasan, pandangan dan pertanyaan melalui Konsultasi Awam
Sebarang pertanyaan akan dikemukakan kepada pemohon dan maklum balas akan diberikan dalam masa 7 hari melalui Jabatan Biokeselamatan.
Kesemua ulasan/pandangan yang diterima dalam tempoh masa konsultasi awam akan dikumpulkan dan dipanjangkan kepada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan untuk dipertimbangkan semasa membuat keputusan.