​​Jabatan Biokeselamatan telah ditubuhkan pada tahun 2010 sebagai jabatan Persekutuan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, melalui penarafan Pasukan Teras Biokeselamatan yang ditubuhkan pada tahun 2008. Jabatan ini adalah pihak berkuasa utama negara untuk semua aktiviti yang berkaitan dengan biokeselamatan/bioteknologi moden dan memantau semua aktiviti yang berkaitan dengan organisma hidup yang diubah suai (LMO) dan produk organisma sedemikian. Jabatan ini juga adalah Urus Setia kepada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) dan Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik (GMAC).

Pada masa ini, Jabatan Biokeselamatan dikendalikan oleh 25 orang kakitangan, yang distrukturkan di bawah tiga seksyen dan satu unit iaitu Seksyen Penyelidikan dan Penilaian; Seksyen Penguatkuasaan dan Pemantauan; Seksyen Korporat dan Pengurusan; dan Unit Integriti​:

  1. Seksyen Penyelidikan dan Penilaian bertanggungjawab untuk memproses permohonan (untuk permohonan kelulusan, pemberitahuan dan pendaftaran Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan (IBC)) dan mengeluarkan sijil kelulusan. Sebagai Urusetia untuk GMAC, seksyen ini bertanggungjawab menyediakan dokumen untuk penilaian GMAC, mendapatkan input daripada agensi kerajaan yang berkaitan, dan menyelaras cadangan GMAC kepada LBK.

  2. Seksyen Penguatkuasaan dan Pemantauan bertanggungjawab untuk semua aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk pensampelan dan analisis produk yang disyaki mengandungi LMO, melaksanakan siasatan bagi aktiviti yang disyaki tidak mematuhi, dan penguatkuasaan keputusan LBK bagi permohonan kelulusan dan  pemberitahuan.

  3. Seksyen Korporat dan Pengurusan bertanggungjawab menyelaras urusan sumber manusia, menguruskan peruntukan kewangan untuk semua program/aktiviti serta menjalankan promosi dan publisiti. Seksyen ini juga merupakan sekretariat kepada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan.

  4. Unit Integriti adalah focal point bagi pengurusan isu integriti di Jabatan Biokeselamatan.