1. Apakah yang dimaksudkan dengan biokeselamatan ?
Biokeselamatan ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan usaha-usaha bagi mengurangkan dan menyingkirkan risiko yang berpotensi terhasil daripada penggunaan bioteknologi moden atau organisma hidup yang diubah suai (Living Modified Organism, LMO) dan hasilannya supaya ia selamat kepada kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi.

2.
Kenapa Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] digubal?
Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] digubal untuk menubuhkan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan untuk mengawalselia aktiviti-aktiviti pelepasan, pengimportan dan kegunaan organisma hidup yang diubahsuai dan produk-produk sedemikian,  dengan tujuan melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi.

3. Siapakah Ahli Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK)?
Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS). Ahli-ahli terdiri daripada wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (MDTCC) dan 4 orang pakar dalam bidang biokeselamatan. Ketua Pengarah Jabatan Biokeselamatan berperanan sebagai Setiausaha LBK.

4. Apakah peranan utama Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK)?
Peranan utama Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) adalah membuat keputusan untuk semua permohonan dan memantau aktiviti-aktiviti berhubung dengan organisma hidup yang diubahsuai (LMO) dan hasilannya.

5. Adakah Jabatan Biokeselamatan mempunyai cawangan di seluruh negara?
Pada masa sekarang, Jabatan Biokeselamatan (JBK) tidak mempunyai cawangan dan alamat JBK adalah:

Jabatan Biokeselamatan
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
Aras 1, Podium 2, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana
Presint 4, 62574 Putrajaya.

6. Apakah itu LMO?
Living Modified Organism (LMO) atau organisma hidup yang diubah suai adalah organisma hidup yang memiliki kombinasi baru bahan genetik yang diperoleh melalui penggunaan bioteknologi moden.

7. Adakah sesuatu produk LMO dan bukan LMO dapat dibezakan secara fizikal?
Sesuatu produk LMO dan bukan LMO tidak dapat dibezakan secara fizikal dan produk LMO hanya dapat dikesan melalui ujikaji makmal.

8. Adakah Jabatan ini mengeluarkan sijil pengesahan LMO dan bukan LMO?
Tidak. Jabatan ini hanya mengeluarkan sijil kelulusan daripada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan untuk permohonan aktiviti pelepasan dan R&D yang melibatkan LMO.

9. Adakah pelabelan makanan manusia yang mengandungi LMO tertakluk di bawah Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] ?
Seksyen 61 Akta Biokeselamatan 2007 mengkehendaki semua LMO dan hasilannya dilabelkan. Keperluan pelabelan itu adalah sebagai tambahan kepada mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Pelabelan makanan yang mengandungi LMO atau hasilannya ini adalah tertakluk di bawah Akta Makanan 1983.

10. Bagaimanakah sesuatu produk LMO itu dapat dikesan?
Pengesanan sesuatu produk LMO dapat dilakukan menerusi analisis protein menggunakan Rapid Test Kit dan kaedah Asid Deoksiribonukleik (DNA) melalui tindak balas rantai polimerase (PCR).

11. Dimanakah JBK menjalankan analisis untuk mengesan LMO?
Analisis untuk mengesan LMO dijalankan oleh juruanalisis yang dilantik di bawah Seksyen 55 Akta Biokeselamatan 2007 di mana ketika ini ia dilaksanakan di Jabatan Kimia Malaysia (JKM), MESTECC; Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), MOH; dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), KATS.

12.
Saya sebagai pengguna ingin mengetahui produk yang dibeli adalah LMO atau tidak, bolehkah saya menghantar sampel produk itu terus kepada JBK?
Sampel boleh dihantar ke Jabatan Biokeselamatan untuk mengetahui sama ada sesuatu produk itu LMO atau tidak. Jabatan Biokeselamatan akan menghantar sampel tersebut ke agensi yang telah dilantik untuk analisa pengesanan LMO.

13. Adakah makanan dan produk yang mengandungi LMO selamat dimakan?
Di peringkat global sebelum sesuatu LMO atau hasilannya boleh dikomersialkan maka ia perlu menjalani beberapa penilaian risiko bagi menjamin keselamatan terhadap kesihatan manusia, haiwan dan tumbuhan. Di Malaysia, pengawalseliaan LMO dan hasilannya dilaksanakan dengan adanya Akta Biokeselamatan 2007 untuk memastikan makanan dan produk yang mengandungi LMO selamat dimakan.

14. Bolehkah tanaman yang dihasilkan daripada bioteknologi moden meningkatkan pendapatan petani?
Salah satu tujuan penghasilan tanaman melalui bioteknologi moden adalah untuk meningkatkan hasil keluaran pertanian atau perladangan serta mengurangkan kos operasi pertanian atau perladangan seperti pembelian racun rumpai.

15. Bagaimana saya boleh mendapatkan dokumen panduan Biokeselamatan (berkaitan penilaian risiko dan pengendalian LMO)?
Dokumen panduan Biokeselamatan berkaitan penilaian risiko dan pengendalian LMO boleh dimuat turun di sini.

16. Dimanakah saya boleh mendapatkan panduan dan nasihat berkaitan proses penyerahan borang permohonan untuk menjalankan kajian yang melibatkan kegunaan terkawal organisma hidup yang diubahsuai (LMO) di institut / syarikat saya?
Hubungi Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan (Institutional Biosafety Committee - IBC) di institusi / syarikat masing-masing.

17.
Adakah Jabatan akan mengeluarkan permit untuk pengimportan dan pengeksportan bagi sesuatu produk LMO?
Jabatan Biokeselamatan tidak mengeluarkan permit pengimportan sesuatu produk LMO dan hasilannya. Permit import tersebut boleh diperolehi daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

18. Sekiranya saya ingin mengimport bijirin LMO, apakah yang perlu saya lakukan?
Semua produk LMO yang hendak diimport perlu mendapatkan kelulusan dari Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK). Pembangun teknologi hendaklah mengisi Borang C yang boleh dimuat turun di sini. Permohonanan yang telah lengkap hendaklah dihantar ke Jabatan Biokeselamatan melalui pos atau serahan tangan ke alamat:

Ketua Pengarah
Jabatan Biokeselamatan
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
Aras 1, Podium 2
Wisma Sumber Asli, No. 25, Persiaran Perdana
Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62574 Putrajaya.

19. Adakah saya perlu mendapatkan kelulusan JBK untuk mengimport mikroorganisma yang akan digunakan dalam kajian R&D?

1) Sekiranya mikroorganisma tersebut adalah LMO, maka ia perlu mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) melalui Jabatan Biokeselamatan. Di samping itu, kelulusan bersama daripada agensi berikut juga diperlukan: 
i) Bahagian Kawalan Penyakit, MOH bagi mikroorganisma yang berkaitan dengan manusia;
ii)Jabatan Pertanian, MOA bagi mikroorganisma berkaitan dengan pertanian; dan
iii)Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MOA bagi mikroorganisma berkaitan dengan haiwan. 

2) Sekiranya mikroorganisma tersebut tidak melibatkan LMO, maka hanya perlu menghubungi agensi yang berkaitan seperti perkara(1) di atas.

20. Berapa lamakah sesuatu permohonan itu diproses?
Tempoh proses permohonan melibatkan LMO untuk mendapatkan Kelulusan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) adalah seperti berikut:
1) Aktiviti pelepasan: Permohonan Kelulusan dalam tempoh 180 hari bekerja
2) Aktiviti kegunaan terkawal: Permohonan Pemberitahuan dalam tempoh 90 hari bekerja.

21. Sekiranya saya membuat permohonan berkaitan LMO, adakah terdapat bayaran yang dikenakan?
Permohonan berkaitan LMO bagi aktiviti kegunaan terkawal/permohonan Notifikasi, tiada bayaran yang dikenakan. Namun, bagi permohonan pelepasan LMO/ permohonan Kelulusan, sila rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

22. Apakah tindakan yang akan diambil kepada individu/organisasi yang membawa masuk LMO atau hasilannya ke Malaysia tanpa melalui LBK?
Individu/Organisasi yang membawa masuk LMO atau hasilannya yang belum mendapat kelulusan LBK akan dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678].

23. Bagaimanakah cara saya untuk mengetahui status permohonan?
Hubungi Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan (Institutional Biosafety Committee - IBC) di institusi / syarikat masing-masing.

24. Bagaimana institusi saya ingin mendaftar sebagai Institutional Biosafety Committee (IBC)?
Institusi Tuan/Puan perlu mengisi Borang G untuk pendaftaran IBC yang boleh diperolehi di sini dan menghantarkan dokumen lengkap ke alamat:

Ketua Pengarah
Jabatan Biokeselamatan
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
Aras 1, Podium 2, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana
Presint 4, 62574 Putrajaya.

25. Dimanakah saya boleh dapatkan maklumat mengenai permohonan yang telah diluluskan?
Sila rujuk  di sini.

26. Bolehkah saya memohon untuk membuat latihan industri di Jabatan Biokeselamatan?
Untuk makluman, buat masa kini Jabatan Biokeselamatan tidak mengambil pelajar bagi latihan industri.